Sunday, March 7, 2010

Tujuh Puluh Satu

Hajat mak untuk menyambut hari lahirnya ke 71 bersama anak-anak yatim terkabul juga. Nasib baik lah kita sekarang di era alam cyber. Dengan ‘meng-google’ saja dapat mencari rumah anak yatim di sekitar Kuala Lumpur.

Mak kelihatan begitu gembira kerana dikelilingi oleh anak-anak, menantu-menantu, cucu-cucu dan anak-anak yatim yang meraikan hari lahirnya tahun ini. Suasana di Rumah Anak Yatim Shifa di Taman P. Ramlee begitu meriah dengan nyanyian lagu-lagu nasyid oleh anak-anak tersebut.

Bersyukur kerana mak di anugerah Allah kesihatan yang baik sehingga sekarang. Mak seorang ibu/ibu mertua/nenek yang ceria dan sangat disayangi dan disenangi oleh semua orang. Setiap apa permintaannya seboleh-bolehnya akan kami tunaikan. Sementara mak masih ada ini, kami berusaha untuk menghibur dan menggembirakan hatinya. Janganlah sakiti atau lukakan hatinya kerana kita juga seorang ibu dan tahu betapa pedihnya hati bila dilukai. Tidak kiralah dia seorang ibu atau ibu mertua kerana untuk melalui kehidupan ini kita memerlukan keredhaan mereka.

Semoga mak terus dikurniakan kesihatan yang berterusan.




Bersama separuh dari cucu-cucu


Bersama anak-anak yatim


Sedang mendendangkan nasyid






Friday, February 12, 2010

SAYU

Minggu lepas akak dan dua orang kawan lain telah ke wad onkologi HKL, menziarah seorang kawan yang pernah kerja sepejabat dengan kami dahulu. Kawan kita ni sedang bertarung dengan penyakit kanser Stage 4. Semasa kami bekerja sama dahulu, kawan kami ini merupakan seorang yang agak cantik dan peramah orangnya. Setelah setahun tidak berjumpa dengannya, akak merasa amat terkejut dengan perubahan fisikalnya. Tubuh badannya yang susut dan matanya yang sayu memandang kami bertiga tanpa sepatah kata. Sebelah tangan dan kakinya tidak boleh diangkat lagi. Akak tak sanggup menulis mengenai keadaan fisikalnya secara terperinci di sini.

Kakaknya berada di sampingnya, sentiasa menemaninya di sebelah katilnya. Maklumlah, adik sendiri…. Saat saat genting ini telah dimanfaatkan sepenuhnya. Kakaknya menerangkan kepada kami bahawa keadaan barah adiknya telah mencapai tahap kritikal. Melihat keadaan kawan kita itu, kami hanya terdiam, tergamam. Sebak rasa dada kami bila si kakak, dengan sayunya memohon agar kami memaafkan segala dosa-dosa dan keterlanjuran adiknya itu. Dalam hati masing-masing, kami telah pun memaafkan kesalahannya.

Terasa berat hati kami untuk melangkah keluar dari wad katilnya untuk meninggalkannya. Terdetik hati kami. Mungkinkah itu kali terakhir kami menatap wajahnya.

Bila difikirkan semula, kawan kami ini memang tabah menahan ujian Allah yang ditanggungnya selama ini.

Semoga Allah memberi seribu kekuatan dan dengan izinNya, menyembuhkanmu Eda. InsyaAllah. Kami turut doakanmu.

Friday, January 22, 2010

HATI

Sakit kah hati ini?

Hanya diri sendiri yang tau akan jawapannya…..Itu pun kalau ikhlas.
Kadangkala kita ambil 'kredit' untuk perbuatan orang lain. Walhal ianya merupakan 'debit' dalam akaun 'sumbangan' kita. Kadangkala kita terlalu banyak menyalahkan orang di sekeliling kita. Adakah sudah cukup baik dan sempurna sehingga tiada sebesar hama pun kesilapan yang telah kita lakukan. Atau pun sekadar ingin menyebarkan dakyah seantaro Malaya tentang 'kebaikan' sendiri sekadar untuk menutup kesalahan dan kepincangan kita selama ini, walaupun telah menjadi pengetahuan umum siapa kita sebenarnya. Ingat! Ungkapan ‘satu jari menuding ke orang tetapi 4 jari lagi menghala ke arah kita.’ Renung-renungkanlah….
Puaskah hati kita apabila dapat, dengan sengaja, menyakiti hati orang lain dengan kata-kata sinis dan kesat yang tidak mengenal erti kesudahan. Tambahan pula orang berkenaan telah bersusah payah menolong mengambil peranan dan tanggungjawab yang telah kita abaikan selama ini. Tak kiralah sama ada kata-kata itu disalurkan melalui apa jua media (manusia atau elektronik). Kepuasan jangkamasa pendek dapatlah diperolehi. Hakikatnya, kepuasan yang dikecapi dalam jangkamasa panjangnya, TIDAK. Tapi sediakah menanggung padah jangkamasa panjang untuk sedikit kepuasan jangkamasa singkat?
Perlukah kita biadap dan bersikap kurang ajar kepada orang senior yang telah menolong kita? Sama juga: kepuasan jangka pendek sahaja; jangka panjang…… padah juga!
Perlukah kita berpura-pura dengan kawan-kawan yang kita rakan yang baik, ibu yang sempurna? Konon.... Tetapi hakikatnya sebaliknya. Natijahnya saaammmaaa juga: kepuasan jangka pendek sahaja; jangka panjang…… padah juga!
Apa ertinya semua? Kenapa singkat sangat akal kita? Kenapa cetek sangat kolam minda kita?
Perlukah kita hidup dalam kepura-puraan, walaupun umum mengetahui hakikat sebenarnya? Untuk bahan gelak dan tawa umum ke?
Adakah semua ini dilakukan sekadar menutup kesalahan sendiri? Cubaan merebut kembali kasih sayang yang hilang akibat perbuatan sendiri yang telah mengabaikannya selama ini? Ataupun sekadar memenuhi nafsu untuk membolot harta dunia? Natijah perbuatan ini akan membuat diri kita bertambah dibenci! Nauzubillah min zalik.
'Entry' ini ditulis apabila mendengar cerita dari seorang kenalan mengenai seorang ibu mertua dan kakak ipar yang telah berjasa. Balasannya: hati mereka dilukai oleh manusia yang sungguh biadap dan kurang ajar. Orang yang berkelakuan seperti anjing yang dibantu lepas dari tersepit!. Seperti kacang lupakan kulit!!
Oleh itu, sama sama samalah kita berdoa agar perkara seperti ini tidak menimpa kita. Perlulah kita muhasabah diri dan bawa bertaubat nasuhah!

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada seketul daging (segumpal darah), jika baik maka baiklah seluruh anggota dan jika rosak maka rosaklah seluruh anggota. Itulah hati.” Dari Bukhari dan Muslim

InsyaAllah hati kita akan bersih seperti ini ……