Sunday, March 7, 2010

Tujuh Puluh Satu

Hajat mak untuk menyambut hari lahirnya ke 71 bersama anak-anak yatim terkabul juga. Nasib baik lah kita sekarang di era alam cyber. Dengan ‘meng-google’ saja dapat mencari rumah anak yatim di sekitar Kuala Lumpur.

Mak kelihatan begitu gembira kerana dikelilingi oleh anak-anak, menantu-menantu, cucu-cucu dan anak-anak yatim yang meraikan hari lahirnya tahun ini. Suasana di Rumah Anak Yatim Shifa di Taman P. Ramlee begitu meriah dengan nyanyian lagu-lagu nasyid oleh anak-anak tersebut.

Bersyukur kerana mak di anugerah Allah kesihatan yang baik sehingga sekarang. Mak seorang ibu/ibu mertua/nenek yang ceria dan sangat disayangi dan disenangi oleh semua orang. Setiap apa permintaannya seboleh-bolehnya akan kami tunaikan. Sementara mak masih ada ini, kami berusaha untuk menghibur dan menggembirakan hatinya. Janganlah sakiti atau lukakan hatinya kerana kita juga seorang ibu dan tahu betapa pedihnya hati bila dilukai. Tidak kiralah dia seorang ibu atau ibu mertua kerana untuk melalui kehidupan ini kita memerlukan keredhaan mereka.

Semoga mak terus dikurniakan kesihatan yang berterusan.




Bersama separuh dari cucu-cucu


Bersama anak-anak yatim


Sedang mendendangkan nasyid






Friday, February 12, 2010

SAYU

Minggu lepas akak dan dua orang kawan lain telah ke wad onkologi HKL, menziarah seorang kawan yang pernah kerja sepejabat dengan kami dahulu. Kawan kita ni sedang bertarung dengan penyakit kanser Stage 4. Semasa kami bekerja sama dahulu, kawan kami ini merupakan seorang yang agak cantik dan peramah orangnya. Setelah setahun tidak berjumpa dengannya, akak merasa amat terkejut dengan perubahan fisikalnya. Tubuh badannya yang susut dan matanya yang sayu memandang kami bertiga tanpa sepatah kata. Sebelah tangan dan kakinya tidak boleh diangkat lagi. Akak tak sanggup menulis mengenai keadaan fisikalnya secara terperinci di sini.

Kakaknya berada di sampingnya, sentiasa menemaninya di sebelah katilnya. Maklumlah, adik sendiri…. Saat saat genting ini telah dimanfaatkan sepenuhnya. Kakaknya menerangkan kepada kami bahawa keadaan barah adiknya telah mencapai tahap kritikal. Melihat keadaan kawan kita itu, kami hanya terdiam, tergamam. Sebak rasa dada kami bila si kakak, dengan sayunya memohon agar kami memaafkan segala dosa-dosa dan keterlanjuran adiknya itu. Dalam hati masing-masing, kami telah pun memaafkan kesalahannya.

Terasa berat hati kami untuk melangkah keluar dari wad katilnya untuk meninggalkannya. Terdetik hati kami. Mungkinkah itu kali terakhir kami menatap wajahnya.

Bila difikirkan semula, kawan kami ini memang tabah menahan ujian Allah yang ditanggungnya selama ini.

Semoga Allah memberi seribu kekuatan dan dengan izinNya, menyembuhkanmu Eda. InsyaAllah. Kami turut doakanmu.